Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Sinar Harian (26 Ogos 2021) - Covid-19: Perak salur RM4.6 juta bantu pusat tahfiz

IPOH - Perak menyalurkan peruntukan hampir RM4.6 juta kepada pusat tahfiz di negeri ini sebagai usaha membantu pusat pengajian berkenaan yang terjejas sumber pendapatan susulan pandemik Covid-19, termasuk yang terpaksa ditutup bagi mengekang penularan wabak itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, jemaah pengurusan sekolah harus berusaha dengan cara terbaik mengendalikan pengurusan termasuklah urusan kewangan agar boleh terus berfungsi walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Saya dimaklumkan ada pusat tahfiz yang masih mampu mengendalikan dengan baik pengurusan kewangan dan pendidikan dalam tempoh pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Khamis.

Selasa lepas, Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Perak (Pematap) Mohd Azlan Suhaimi dilapor berkata, 60 daripada 102 maahad tahfiz hanya mampu bertahan tiga bulan dan ke bawah sahaja berikutan penangguhan pengoperasiaan berkuat kuasa serta-merta pada Mei lepas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Azlan mendakwa, ia sekali gus memberi kesan yang negatif dan dianggarkan 2,500 pelajar akan keciciran dan 300 guru akan hilang pekerjaan.

Sementara itu Mohd Yusop berkata, bagi meningkatkan kemahiran guru tahfiz swasta di negeri ini, kursus latihan perguruan selama empat bulan akan dianjurkan JAIPk dengan kerjasama Institut Kemahiran Darul Ridzuan pada hujung bulan depan.

"Kursus ini dibiayai sepenuhnya oleh JAIPk dan saya mengharapkan agar dapat dimanfaatkan oleh pihak pengusaha tahfiz," katanya. - Bernama

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/157828/EDISI/Covid-19-Perak-salur-RM46-juta-bantu-pusat-tahfiz



Copyright © 2023 Perak Department of Islamic Religion. Best viewed via Mozilla Firefox and Google Chrome with a resolution of 1024 x 768 and above. This website uses a RESPONSIVE LAYOUT.

Lasted Update :Thursday 15 February 2024. Total Visitors 17510756

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH