SAIFULLAH AHMAD | | 12 Januari 2021

IPOH - [DIKEMAS KINI] Umat Islam wajib melindungi kesucian agama daripada sebarang bentuk manipulasi pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan politik, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, ajaran Islam berlandaskan al-Quran dan sunah Rasullullah SAW turut wajib dilindungi.

Jelas baginda, hukum hakam dan tafsiran mengenai Islam tidak boleh dibenarkan untuk ditafsirkan sewenang-wenangnya oleh mana-mana kumpulan hingga tergelincir daripada landasan sebenar.

"Peruntukan yang memaktubkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja sebagai Ketua Agama Islam, memberi jaminan bahawa tanggungjawab mengenai agama Islam dilindungi dan tidak akan terjejas walau apa juga perubahan yang berlaku dalam kepimpinan politik negara serta negeri selepas setiap kali berlangsungnya pilihan raya.

"Agama Islam yang diamanahkan tanggungjawab kepada Raja Pemerintah, akan lebih terjamin dilindungi kesuciannya," titah baginda selepas menyempurnakan Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Sultan Nazrin bertitah, Islam yang diperuntukkan kedudukan istimewa di negara ini perlu diangkat kemuliaannya dan ia tidak boleh bergantung semata-mata kepada apa yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Titah baginda, tanpa pengisian, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan hanya tinggal sebagai frasa perundangan, ibarat skrip kosong yang tidak memberikan sebarang makna.

Baginda menjelaskan, tanggungjawab memberi makna kepada frasa perundangan tersebut terletak di atas bahu setiap umat Islam yang wajib berusaha menjelmakan Islam secara terserlah dalam budaya hidup harian.

"Islam bukan sekadar percakapan dan retorik, slogan yang dilaungkan atau sepanduk yang dipaparkan di setiap bangunan. Islam bukan bahan untuk didagangkan secara berjanji, secara memberi harapan, dijajakan atau dijadikan alat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan duniawi. Islam wajib dibuktikan melalui kehidupan yang nyata.

"Masyarakat Islam hendaklah dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam dengan tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan yang berimej mungkar dan munafik, kalangan yang lemah moral dan rendah akhlaknya, kalangan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa serta kalangan yang tidak amanah dan tidak ikhlas," titah Sultan Nazrin.

Menurut baginda, insan yang berpegang pada kalimah syahadah akan membuktikan sifat-sifat sayang, takut, menghormati dan mematuhi perintah ALLAH SWT, mematuhi sunah Rasulullah SAW serta berpegang kepada Rukun Iman iaitu mempercayai adanya hari pembalasan dan adanya alam akhirat.

Baginda bertitah, mereka yang menghayati nilai-nilai Islam tidak akan merasakan dirinya lebih tinggi, lebih mulia atau lebih berkuasa berbanding insan lain.

Jelas baginda, seseorang yang memiliki sifat-sifat takwa akan bersifat jujur jika diamanahkan dengan tanggungjawab dan apabila diangkat untuk memimpin individu tersebut akan menjunjung amanah secara luhur serta tidak akan menodai kepercayaan yang telah diberikan.

"Rakyat sedang memerhati, mendengar dan mengikuti apa yang berlaku di dalam negara ketika ini. Lebih daripada itu, ALLAH Maha Melihat lagi Maha Mendengar. Segala kejadian yang berlaku, hendaklah ditafsirkan dengan berlandaskan iman yang menyakini kuasa dan keadilan Ilahi.

"Apa juga ujian yang sedang dilalui oleh ummah, sesungguhnya ia berpunca daripada perbuatan zalim yang dilakukan oleh manusia," titah Sultan Nazrin lagi.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua dan anggota MAIPk, serta ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak atas perkhidmatan yang telah diberikan ketika menjunjung amanah dan memenuhi tanggungjawab sepanjang tempoh keanggotaan dan keahlian mereka pada penggal 2018 sehingga 2020.

Doa Sultan Nazrin

Ya Malik! Ya Muhaimin! Ya Aziiz! Ya Khaaliq!

Hamba-Mu memerhatikan sebahagian ummah-Mu, kini berada dalam keadaan bagaikan hilang pedoman, luntur pegangan, hanyut dalam arus kuasa dan kemewahan dunia. Hamba-Mu juga sedang menyaksikan sebahagian ummah Mu sedang dilanda pelbagai kepincangan, kecelaruan, kekeliruan dan kekusutan hingga menjejaskan nilai moral, akhlak, budi pekerti, akidah, takwa dan tauhid. Hamba-Mu memohon agar dilindungi ummah-ummah yang tidak berdosa daripada ditimpa bala bencana akibat daripada perbuatan zalim pihak-pihak yang telah melanggar perintah Mu Ya ALLAH.

Ya Wahhab! Ya Razak! Ya Rafiq! Ya Muiz!

Di atas bahu hamba-Mu ini telah Engkau amanahkan tanggungjawab berat sebagai Ketua Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan. Kepada Mu jua, hamba-Mu memohon dikurniakan hidayah agar dapat membantu hamba-Mu menyempurnakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan, agar hamba-Mu berupaya memimpin para jemaah menemui jalan lurus, jalan yang dapat memberi kebahagiaan dunia, kebahagiaan akhirat. Kurniai hamba-Mu dengan para wazir, para hakim, ulama dan umara yang mempunyai iman yang jitu,pegangan tauhid yang kukuh, berani menegakkan kebenaran, tegas melaksanakan keadilan. Limpahilah rahmat kepada negeri Perak Darul Ridzuan menjadi sebuah negeri yang gemilang seperti yang terkandung dalam ayat 15, Surah Saba, ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR’

Ketika dunia sedang berhadapan pelbagai kemelut, sama ada berbentuk wabak penyakit yang terus menular, bencana alam yang sering melanda, polemik politik yang semakin bergelombang dan suasana ekonomi yang sedang suram, kuatkan pegangan dan kukuhkan iman sekalian hamba Mu agar yakin kepada kuasa Mu yang Esa, berpandukan ayat 23, Surah Al-Hasyr bermaksud: “Dialah ALLAH, tidak ada Tuhan selain Dia, Yang Maha Menguasai (seluruh alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Melimpahkan Keamanan, Pemelihara Keselamatan, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan, Maha Suci ALLAH daripada yang mereka persekutukan”

Ya ALLAH! Ya Rahman! Ya Rahim!

Ampunkan segala kesilapan kami, lindungi kami daripada bisikan dan hasutan Iblis yang dilaknat, bimbing kami menemui Siratulmustakim, makbulkan doa kami, Amin Ya Rabbul Alamin.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/118648/BERITA/Nasional/Lindungi-Islam-daripada-sebarang-manipulasi-Sultan-Perak

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.
Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Khamis 02 Disember 2021.

Harini 363

Semalam 1485

Minggu Ini 5908

Bulan Ini 4404

Jumlah Pelawat 16482569

Test

sasasasasasasasa