Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Harian Metro (09 Okt 2022) - Ustazah Rokiah pernah kena badi mayat [METROTV]


Ipoh: Terkena badi mayat tidak sedikit pun melunturkan semangat bekas pembantu guru agama dakwah daripada menguruskan jenazah wanita masyarakat Orang Asli yang beragama Islam.

Peristiwa itu dilalui Rokiah Man, 61, kira-kira 20 tahun lalu apabila terkena badi mayat selama empat bulan sejurus menguruskan jenazah wanita Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, Gerik dekat sini.

Bagi nenek kepada 17 cucu yang mesra disapa Ustazah Rokiah itu, pengalaman itu tetap segar dalam ingatannya sekali gus menjadi pendorong untuk terus mendekatkan hubungannya dengan masyarakat Orang Asli dalam memberikan dakwah berkaitan agama Islam.

Katanya, beliau menguruskan jenazah seorang wanita Orang Asli dua hari selepas pertama kali menghadiri kursus pengurusan jenazah pada tahun 2000.

"Ketika itu jawatan saya adalah Guru Fardhu Ain Orang Asli di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan pada waktu itu pembabitan kaum wanita sebagai mubaligh Orang Asli tersangat kurang hinggakan saya sering diminta menguruskan jenazah wanita Islam Orang Asli.

"Hari Sabtu pergi kursus pengurusan jenazah, dua hari selepasnya iaitu Isnin saya sudah dipertanggungjawab menguruskan jenazah. Sejurus selepas itu saya demam berpanjangan dan sering rasa seperti kepanasan walaupun doktor gagal mengenal pasti jenis penyakit itu.

"Hinggalah kira-kira empat bulan kemudian ketika dibawa berubat secara Islam oleh bapa saudara dan sembuh," katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Pendakwah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah peringkat negeri Perak di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Rokiah berkata, beliau bagaimanapun bernasib baik kerana ketika mula menggalas tugas dengan JAIPk, beliau bergerak menyantuni masyarakat Orang Asli di Gerik dengan ditemani suami, Osman Mat Ludin, 82, yang ketika itu berkhidmat sebagai Mubaligh Orang Asli.

Menurutnya lagi, beliau sudah menguruskan lebih 50 jenazah wanita Orang Asli sepanjang mula berkhidmat pada 2000 sehingga sekarang.

"Pada saya sudah ramai pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) kelihatan berlumba bagi menguruskan jenazah masyarakat Islam kita di Malaysia secara amnya termasuk yang berorientasikan keuntungan namun keadaan berbeza jika jenazah itu adalah kaum Orang Asli.

"Walaupun sekarang saya hanya suri rumah kerana kontrak sebagai pembantu mubaligh sudah tamat tahun lalu, hubungan saya dengan Orang Asli beragama Islam terutama sekitar kawasan Kampung Ulu Gerik masih terjalin erat sehingga kini," katanya yang menetap di Kampung Sira Kulim, Air Panas, Gerik.

Selain Anugerah Pendakwah, Sultan Nazrin turut menyampaikan Anugerah Pegawai Masjid terdiri dari kategori imam, bilal, dan siak; Anugerah Tokoh NGO dan Anugerah Pengamal Media.


Artikel Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/10/890554/ustazah-rokiah-pernah-kena-badi-mayat-metrotv


Utusan Malaysia (30 Julai 2022) - Sekuriti makanan : Sultan Nazrin mahu usaha menambah bekalan dipergiatkan


IPOH: Malaysia berada di ambang bahaya berhubung isu sekuriti makanan dan usaha-usaha perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan fokus untuk mengurangkan import.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, negara berada dalam status defisit bekalan makanan bil import makanan pada tahun 2020 mencecah RM55.5 bilion berbanding RM33.8 bilion eksport.

Baginda bertitah, defisit perdagangan produk makanan negara meningkat daripada RM1 bilion pada tahun 1990 kepada RM11 bilion pada tahun 2010 dan RM21.7 bilion pada tahun 2020.

“Loceng amaran telah berbunyi, lampu isyarat telah berkelip apabila rakyat berasa resah gelisah mengalami situasi kekurangan bekalan telur, ayam, sayur dan minyak masak manakala harga bahan-bahan makanan, terutama bahan-bahan import, diramalkan terus meningkat akibat gangguan rantaian bekalan selepas tercetusnya perang Rusia – Ukraine, di samping penurunan nilai ringgit.

“Langkah-langkah strategik perlu diperkenalkan untuk mewujudkan petani generasi baharu, meluaskan kawasan tanaman makanan dan menggalakkan pengeluaran melalui kaedah moden walaupun di atas tanah bersaiz kecil,” titah baginda titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Nazrin bertitah, perlu ada gerakan besar-besaran untuk memenuhi keperluan bekalan makanan. dan rakyat hendaklah disedarkan.

Titah baginda, rakyat hendaklah dibawa bersama, membantu menangani memenuhi keperluan bekalan makanan.

“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mentafsirkan usaha menghindari manusia daripada kebuluran disebabkan keputusan makanan, sebagai satu tanggungjawab utama fardu kifayah selaras dengan semangat maqasid syariah.

“Justeru itu, sambutan Maal Hijrah 1444, memilih tema untuk menyedarkan ummah mengenai subjek keselamatan makanan, dengan hasrat dapat menggerakkan ummah bergiat aktif mengusahakan program menghasilkan makanan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, langkah MAIPk dan JAIPk menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk meningkatkan penghasilan bahan makanan merupakan perintisan usaha baharu di luar daripada norma budaya kerja biasa, satu langkah penghijrahan yang strategik.

Titah baginda, gandingan tenaga MAIPK dan JAIPK, bersama Jabatan Pertanian, wajib diberikan sokongan oleh pelbagai pihak.

“Sokongan kewangan, selain memenuhi tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB INC) dan Perbadanan Kemajuan Islam Negeri Perak Sendirian Berhad (PSB), membantu membiayai program menghasilkan makanan yang diusahakan oleh masjid, surau, tahfiz dan sekolah, amatlah bermakna dan sungguh mendorongkan,” titah baginda.

Baginda berharap lebih banyak badan berkanun, GLC dan pihak swasta, tampil ke hadapan menghulurkan sumbangan dan bantuan untuk membiayai projek-projek menghasilkan makanan.

Titah baginda, para belia hendaklah menawarkan diri, menawarkan pimpinan, membangunkan program briged muda petani moden.

“Beta menghargai sambutan masjid, surau, pusat tahfiz dan sekolah, bergerak aktif mengusahakan pelbagai program penghasilan makanan.

“Program menghasilkan makanan hendaklah terus diperluaskan dan dijadikan program tetap oleh setiap masjid dan surau di negeri Perak.

“Masjid dan surau hendaklah berada di barisan hadapan di setiap mukim dan kampung, memberikan sebaik contoh teladan, mendorong dan membimbing masyarakat setempat, melaksanakan ibadah fardu kifayah menghasilkan makanan.

Artikel Penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/sekuriti-makanan-sultan-nazrin-mahu-usaha-menambah-bekalan-dipergiatkan/



Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Agama Islam Perak. Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Khamis 19 Disember 2024. Jumlah Pelawat: 17755224

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH