Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Harian Metro (1 November 2024) - Syed Danial ketuai 213 penerima darjah

Harian Metro (1 November 2024) - Syed Danial ketuai 213 penerima darjah

Ipoh: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, mengetuai senarai 213 penerima Darjah Kebesaran serta Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Syed Danial adalah penerima Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri, selain darjah sama turut dikurniakan kepada Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation Sdn Bhd yang juga Pengerusi Eksekutif Spritzer Berhad Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.

Menyusuli tiga individu itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron yang dikurniakan selaku penerima tunggal Darjah Datuk Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang turut membawa gelaran Datuk, antaranya dikurniakan kepada Abdul Rahim Mydin. Beliau adalah bekas pegawai undang-undang Petronas sebelum bersara sebagai Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Kumpulan Petronas. Beliau juga menjadi penulis undangan untuk akhbar New Straits Times (NST).

Selain itu, DPMP turut dikurniakan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.

Dalam pada itu, Pengarang Kumpulan NST Farrah Naz Karim turut tersenarai sebagai seorang daripada 28 penerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).

Pada sidang media semalam, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, istiadat penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak tahun ini akan dibuat melalui dua sesi iaitu pada Sabtu 9 November, bagi 18 penerima Darjah Kebesaran yang membawa gelaran.

Kata beliau, bagi penerima Darjah Kebesaran serta pingat selebihnya yang tidak membawa gelaran, istiadat penganugerahan akan dilangsungkan pada Sabtu, 16 November ini, dengan kedua-dua sesi istiadat itu akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Atas sifat prihatin dan ihsan Sultan Nazrin sempena hari keputeraan baginda terhadap kebajikan banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di penjara, pusat koreksional dan pusat pemulihan akhlak di Perak, baginda juga menzahirkan perkenan bagi membiayai hidangan makanan tengah hari istimewa, hari ini, membabitkan 7,800 banduan.

Ia meliputi lima institusi penjara di Perak iaitu Penjara Taiping, Penjara Tapah, Pusat Koreksional Kamunting, dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah.

Hari Keputeraan Sultan Nazrin disambut pada Jumaat pertama November, dengan sambutan kali ini akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, pada waktu solat Jumaat dengan majlis sama turut diadakan di semua masjid daerah di Perak.


Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Agama Islam Perak. Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Khamis 19 Disember 2024. Jumlah Pelawat: 17755193

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH