Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Harian Metro (26 Oktober 2024) - Sultan Nazrin lancar buku teks silibus usrah, fardu ain

Harian Metro (26 Oktober 2024) - Sultan Nazrin lancar buku teks silibus usrah, fardu ain

Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan melancarkan dua buku berkaitan keagamaan iaitu Buku Silibus Usrah Badar Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Buku Teks Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (Aiman).

Dua buku itu baginda lancarkan bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam (MAKPI) Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1446H / 2024M di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), Jalan Raja Musa Mahadi, di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Buku Silibus Usrah Badar Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) adalah panduan komprehensif bagi membina asas keagamaan yang kukuh melalui pendekatan usrah menggunakan pendekatan interaktif yang mudah difahami, dengan membawakan tema utama dalam bidang tauhid, fekah, tafsir, hadis, tajwid, akhlak, dan sirah.

Ia mula dibina pada tahun 2011 di bawah seliaan Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Perak dengan kerjasama Mursyid Badan Dakwah Dan Rohani (Badar) JAIPk, terdiri daripada tahap 1 hingga 5.

Manakala Buku Teks Aiman membabitkan pembelajaran Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 3 yang berfokus kepada latihan amali berkaitan amalan-amalan fardu ain dan fardu kifayah seperti pengurusan jenazah dan sembelihan haiwan bagi melahirkan pemimpin yang berpengetahuan dalam kalangan remaja yang akan mengetuai program atau aktiviti keagamaan dalam masyarakat setempat

Buku Teks Aiman dihasilkan menerusi kerjasama antara agensi membabitkan JAIPk, Yayasan Perak, dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Pembelajaran Aiman dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) terpilih di seluruh negeri Perak yang turut mendapat sumbangan daripada masjid-masjid berdekatan.

Dalam program itu juga, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan 20 anugerah yang membabitkan 107 penerima termasuk kepada Anugerah Tokoh Pendidik yang disampaikan kepada Madihah Mohamad, 63, bekas Pengetua Sekolah Raja Perempuan Taayah.

Anugerah yang disampaikan Sultan Nazrin pada majlis itu antaranya Anugerah Penyelia Terbaik Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Anugerah Guru serta Guru Tadika Terbaik Kafa, Anugerah Sijil Tahfiz Negeri Perak, Anugerah Hafiz dan Hafizah Muda.

Selain itu adalah Augerah Pelajar Terbaik bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Thanawi, I'dadi, Sijil Rendah Agama Islam (SRAI), dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Anugerah Sekolah Terbaik Pengurusan KAFA, dan Anugerah Sekolah Terbaik.


Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Agama Islam Perak. Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Khamis 19 Disember 2024. Jumlah Pelawat: 17755193

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH