Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Harian Metro (03 November 2023) - Raja Muda Perak berangkat ke Majlis Kesyukuran Hari Keputeraan Sultan Nazrin ke-67

Harian Metro (03 November 2023) - Raja Muda Perak berangkat ke Majlis Kesyukuran Hari Keputeraan Sultan Nazrin ke-67


Kuala Kangsar: Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, hari ini, berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah Tahun 2023 di Masjid Ubudiah di sini.

Turut berangkat Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta wakil rakyat dan ketua jabatan.

Majlis yang bermula jam 12.30 tengah hari itu didahului dengan bacaan Yassin yang dipimpin Mufti Perak Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Raja Jaafar juga menunaikan solat Jumaat di sini, dengan kehadiran lebih 200 jemaah yang dipimpin Imam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Syed Muhammad Hazwan Syed Azmai.

Semalam, pada sidang media Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, majlis Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat yang sama turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh negeri Perak dengan diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing.

Sementara itu, Imam Utama Masjid Ubudiah Badrul Husaini Baharudin menyampaikan khutbah khas bertajuk 'Peranan Dan Tanggungjawab Raja Pemerintah'.

Khutbah itu antara lain menyebut raja berperlembagaan berperanan sebagai tonggak kestabilan, pancur keadilan, teras perpaduan, dan payung penyatuan, memberikan naungan yang adil serta saksama kepada rakyat.

Pada masa sama, khutbah itu menyebut raja berperlembagaan ialah penimbang tara bebas lagi berkecuali kepada cabang-cabang perundangan, eksekutif serta kehakiman demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang supaya diperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi yang mengutamakan amalan pengasingan kuasa.

Sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-67 Sultan Nazrin, baginda berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat negeri Perak kepada 238 penerima, dengan Wan Zahidi mendahului senarai itu sebagai penerima darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sultan Nazrin turut berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari kepada 7,100 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di penjara, pusat koreksional dan pusat pemulihan akhlak di Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda yang disambut hari ini.

  • Laman Utama
  • Berita Terkini
  • Harian Metro (03 November 2023) - Raja Muda Perak berangkat ke Majlis Kesyukuran Hari Keputeraan Sultan Nazrin ke-67

Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Agama Islam Perak. Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Khamis 19 Disember 2024. Jumlah Pelawat: 17755302

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH