Harian Metro (25 Mei 2023) - Sultan Nazri perkenan wartawan baca khutbah Jumaat esok
Harian Metro (25 Mei 2023) - Sultan Nazri perkenan wartawan baca khutbah Jumaat esok
Muhamad Lokman Khairi
Disiarkan pada: Mei 25, 2023 @ 11:22am
Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah berkenan pengamal media diberikan peluang dan penghormatan membaca khutbah Jumaat di tiga masjid di Perak esok, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional 2023 (Hawana).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, ia bagi mengiktiraf peranan penting wartawan kepada negara.
"Baginda menitahkan khutbah Jumaat di negeri Perak esok bertemakan 'Kewartawanan : Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam'.
"Susulan itu, Jabatan Penyiaran Negeri Perak serta Persatuan Pengamal Media Perak mengemukakan tiga nama pengamal media kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapat tauliah membaca khutbah di tiga masjid di Perak.
"Editor Rencana Agama dan Sastera, Berita Harian, Mohd Nazmi Yaacob, diperkenankan tauliah untuk membaca khutbah Jumaat di Masjid Negeri, Masjid Sultan Idris Shah II," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, dua lagi pengamal media turut diberikan perkenan tauliah iaitu Saifullah Ahmad dari Sinar Harian yang ditugaskan menyampaikan khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh dan Mohd Fahmi Mohd Nor daripada RTM Perak yang bakal menyampaikan khutbah di Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh.
Sambutan Hawana 2023 akan diadakan di Ipoh dari 27 hingga 29 Mei dengan mengangkat tema "Media Bebas, Tunjang Demokrasi" untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.
Untuk paparan artikel penuh, sila klik pautan https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/05/970570/sultan-nazri-perkenan-wartawan-baca-khutbah-jumaat-esok