Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Sinar Harian (14 Mei 2023) - 'Penceramah terkenal pun perlu dapat kebenaran' - JAIPk

Sinar Harian (14 Mei 2023) - 'Penceramah terkenal pun perlu dapat kebenaran' - JAIPk


oleh NORMAWATI ADNAN 14 Mei 2023 12:40pm

IPOH - Semua penceramah bertauliah dan bebas termasuk yang popular dalam kalangan masyarakat wajib mendapatkan kebenaran sekiranya ingin melakukan kerja dakwah di negeri ini, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.

Beliau berkata, perakuan dan kebenaran itu termaktub dalam ketetapan dibuat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan perlu dipatuhi bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Setiap negeri ini berbeza-beza dan Perak tetap dengan keputusan, kalau nak mengajar di masjid atau surau perlu ada tauliah.

"Kalau nak berceramah, maka perlu dapatkan kebenaran daripada pegawai tadbir agama daerah tempat ceramah itu diadakan.

"Peraturan ini terpakai untuk semua termasuk penceramah terkenal pun, jadi kena akurlah kerana itu peraturan ditetapkan MAIPk selaku pembuat dasar," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Sambutan Hari Raya Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Taman Tasek Jaya dekat sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kehadiran seorang pendakwah bertaraf profesor yang tidak mempunyai tauliah mengajar agama di negeri ini dijemput merasmikan sebuah program sekolah di Klebang sepertimana tular di media sosial.

Dalam kes itu, Harith Fadzilah berkata, JAIPk telah merujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri memandangkan individu berkenaan dijemput bagi tujuan rasmi di sekolah, bukan berceramah di institusi agama lain.

"Perkara ini berlaku di premis Kementerian Pendidikan, maka kementerian yang bertindak," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengarahkan satu siasatan segera dilakukan atas dakwaan wujud aktiviti pemujaan nombor ekor di sebuah banglo lama di Bagan Serai.

Katanya, setakat ini belum ada laporan diterima berkaitan kes sedemikian.

"Kita akan minta bahagian penguat kuasa lakukan siasatan segera. Jika benar wujud seperti dinyatakan, maka tindakan akan diambil dengan kerjasama polis," katanya.

Untuk paparan artikel penuh, sila klik pautan https://www.sinarharian.com.my/article/258435/edisi/perak/penceramah-terkenal-pun-perlu-dapat-kebenaran---jaipk


Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Agama Islam Perak. Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Khamis 19 Disember 2024. Jumlah Pelawat: 17754931

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH