Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Harian Metro (29 Mac 2023) - Bekalan ayam disembelih tidak ikut syarak dari Melaka, pembekal ada sijil halal

Bekalan ayam disembelih tidak ikut syarak dari Melaka, pembekal ada sijil halal

Oleh : Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Ayam segar yang didakwa tidak disembelih mengikut syarak dijual di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar dibekalkan oleh sebuah syarikat pembekal ayam dari Melaka yang memiliki sijil pengesahan halal dari negeri berkenaan.

Dapatan itu diperoleh menerusi pemeriksaan dijalankan tiga pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Kuala Kangsar di pasar raya terbabit tengah hari semalam.

 

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pasar raya terbabit mendapat bekalan ayam segar daripada tiga syarikat yang berlainan yang masing-masing di Melaka; Bercham, Ipoh; dan Senawang, Negeri Sembilan yang mana ketiga-tiga syarikat berkenaan adalah pemegang sijil halal.

Bagaimanapun, Kamalludin berkata, pemeriksaan yang dijalankan semalam mendapati tiada ayam segar yang kelihatan tidak disembelih secara sah sebagaimana dakwaan yang tersebar di media sosial mengenainya.

 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ayam berkenaan dibeli oleh individu yang menularkan isu berkenaan pada 24 Mac lalu berdasarkan tarikh yang tertera pada gambar tular

Katanya, pada tarikh itu iaitu antara 24 hingga 26 Mac lalu, bekalan ayam segar di pasar raya berkenaan diperoleh daripada pembekal di Melaka.

"Pemeriksaan pada semalam mendapati tiada penemuan seperti yang diberitahu (tular), mungkin sebab pemeriksaan dibuat lewat berbanding hari sebenar kejadian.

"Berdasarkan maklumat tular, ayam berkenaan dibeli pada 24 Mac tetapi semalam iaitu 28 Mac baru kita jalankan pemeriksaan.

"Pemeriksaan lewat kerana aduan tidak dibuat secara rasmi pada hari kejadian, jadi pemeriksaan dijalankan hanya berdasarkan aduan yang ditularkan di media sosial.

"Malah, kita juga sendiri sukar dan tidak dapat menghubungi pengadu kerana dia juga menggunakan akaun yang diprivasikan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, susulan itu pihaknya sudah menghubung KPDN Melaka bagi tindakan lanjut termasuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap rumah sembelihan ayam yang dimaksudkan.

"Kita juga sudah maklumkan hasil siasatan awal kita di pasar raya berkenaan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk tindakan mereka.

"Kita maklum bidang kuasa berkaitan halal sebenarnya adalah pada Jabatan Agama Islam negeri namun siasatan oleh KPDN lebih kepada membantu terutama disebabkan pengadu menyebutkan seolah-olah ini bidang kuasa kita (KPDN)," katanya.

Terdahulu, NSTP melaporkan JAIPk akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan sebuah pasar raya di Kuala Kangsar menjual ayam segar secara pembungkusan yang tidak disembelih mengikut syarak dan didakwa sebagai tidak halal.

 

Untuk paparan artikel penuh, sila layari pautan https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/03/950980/bekalan-ayam-disembelih-tidak-ikut-syarak-dari-melaka-pembekal-ada-sijil

  • Laman Utama
  • Berita Terkini
  • Harian Metro (29 Mac 2023) - Bekalan ayam disembelih tidak ikut syarak dari Melaka, pembekal ada sijil halal

Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Agama Islam Perak. Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Khamis 19 Disember 2024. Jumlah Pelawat: 17755368

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH