Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Sinar Harian (04 Februari 2022) - Pengambilan makanan tidak berkhasiat punca kanser

IPOH - Pengambilan makanan tidak sihat merupakan antara penyebab tercetusnya perkembangan sel kanser dalam tubuh manusia.
Kanser atau barah ialah penyakit berat yang sukar dirawat dan biasanya membawa maut.

Itu antara intipati teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut pada setiap 4 Februari.

Menurut teks khutbah tersebut, kanser kini menjadi punca kematian kedua tertinggi di dunia yang mencatatkan sekitar 10 juta orang meninggal dunia kerana menghidap kanser dalam tahun 2020.

"Di Malaysia pada tahun lalu, seramai 49,000 orang pesakit kanser yang baru dikenal pasti malah rekod menunjukkan 33 peratus pesakit di hospital swasta dan hampir 12 peratus pesakit di hospital kerajaan meninggal dunia kerana kanser.

"Organisasi Kesihatan Dunia menyenaraikan punca-punca yang mencetuskan perkembangan sel kanser dalam tubuh manusia antaranya ialah pengambilan makanan yang tidak sihat seperti makanan yang mengandungi bahan kimia yang tinggi, daging merah dan daging proses apatah lagi jika bahan-bahan makanan tersebut didedahkan kepada anak-anak pada usia yang terlalu muda.

"Kandungan daging merah yang dimasak dengan suhu tinggi boleh mengakibatkan kanser prostat. Meskipun makanan-makanan sebegini, sedap pada tekak, akan tetapi tanpa disedari makanan-makanan tersebut membawa risiko besar dan membahayakan kesihatan," jelas teks khutbah yang dibaca di seluruh masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak pada Jumaat.

Menurut teks khutbah itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti tiga jenis kanser yang paling banyak dihidapi di Malaysia iaitu kanser payudara, kanser usus besar dan kanser paru-paru.

Dalam pada itu, Islam sangat menitik berat soal kesihatan malah menjaga kesihatan adalah satu fardu.

"Tubuh badan yang sihat merupakan nikmat yang wajib disyukuri. Salah satu bentuk mensyukuri nikmat tersebut ialah dengan menjaga kesihatan. Kesihatan yang dipinjamkan ALLAH SWT kepada kita perlu digunakan sebaik mungkin kerana ia bersifat sementara.

"Baginda SAW sangat mengutamakan penjagaan kesihatan. Gaya hidup sihat Baginda SAW bermula dengan amalan mengambil makanan berkhasiat seperti susu, cuka, madu, gandum, tamar dan buah-buahan.

"Baginda juga tidak mengambil makanan secara berlebihan di samping menjauhi makanan-makanan yang makruh," jelas teks khutbah berkenaan.

Sementara itu, mimbar turut menyarankan agar langkah-langkah pencegahan kanser dapat diamalkan melalui amalan gaya hidup sihat memandangkan penyakit tersebut agak sukar dikesan pada peringkat awal.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/186225/EDISI/Pengambilan-makanan-tidak-berkhasiat-punca-kanser



Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Agama Islam Perak. Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Khamis 19 Disember 2024. Jumlah Pelawat: 17755349

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH