Skip to main content
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Harian Metro (13 Disember 2025) - MBOR iktiraf lagu dalam solat dihasilkan SRI Al Hidayah Ipoh

Ipoh: Sekolah Rendah Islam (SRI) Al Hidayah Ipoh di Gunung Rapat, di sini, mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas pencapaian menghasilkan lagu bacaan solat lengkap yang pertama, hari ini.

Keseluruhan lagu bacaan solat komprehensif dalam bahasa Melayu itu yang berdurasi antara 12 hingga 13 minit, dicipta dengan bimbingan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bermula dari rukun pertama solat iaitu takbiratul ihram sehingga rukun terakhir solat iaitu memberi salam, menjadi versi rasmi yang diiktiraf MBOR.

Komposer lagu itu yang juga Guru Kanan Al-Quran Sekolah Rendah Islam Al Hidayah Ipoh, Razman Abdul Aziz berkata, lagu berkonsepkan terjemahan bahasa Melayu bacaan dalam solat berkenaan dicipta atas dasar memastikan pendengar khususnya dalam kalangan kanak-kanak memahami setiap perkataan dalam bacaan solat.

"Bukan hanya budak-budak, malah orang dewasa juga ramai yang mendirikan solat namun tidak tahu makna bacaan dalam solat.

"Jadi tercetusnya idea penghasilan lagu nyanyian ini bagi membolehkan pendengar khususnya kanak-kanak memahami bacaan solat secara spontan.

"Contohnya, makna bacaan tahiyat kalau kita tanya orang tua-tua pun ada yang tak boleh terjemahkan secara terus.

"Jadi saya terfikir bila menyanyi boleh ingat secara spontan lalu tercetuslah idea menghasilkan lagu pertama bagi terjemahan surah al-Fatihah pada 2010 sebagai permulaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan MBOR sempena Hari Penyampaian Hadiah dan Majlis Tamat Tahun 6 Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah di Dewan Terbuka Kompleks Pendidikan Al-Hidayah, di sini, hari ini.

Pengiktirafan itu disampaikan Pegawai Rasmi MBOR Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada pihak sekolah yang diwakili Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah, Ayob Don dan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Ipoh Nor Hilmi Salimi Khoren sambil disaksikan Guru Besar Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah Suriani Suratman.

Menurut Razman, sejak 2010 dengan penghasilan lagu bacaan terjemahan surah al-Fatihah, lagu bacaan rukun solat dikembangkan setapak demi setapak ke rukun lain seperti rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud sehinggalah penghasilan lagu bacaan tahiyat akhir serta dua surah al-Quran yang siap pada 2025.

Menurutnya, penciptaan lagu secara komprehensif itu mula diiktiraf dengan penyertaan ke Persidangan Antarabangsa Amalan Terbaik (ICBP) anjura JAIPk dengan memperoleh anugerah bagi kategori persembahan serta pembentang terbaik.

Beliau berkata, sebanyak lima daripada keseluruhan lapan lagu bacaan solat yang dihasilkan itu turut dirakam secara profesional melalui kerjasama seorang selebriti dakwah dan komposer dengan menurutnya lagu-lagu berkenaan kini digunakan dalam amali solat pelajar tahun satu hingga tahun tiga.

"Lagu itu membantu hafalan serta kefahaman murid dengan kira-kira 60 murid sekolah ini berjaya menguasai lagu-lagu itu.

"Pegawai JAIPk yang memantau juga melihat perkembangan positif program ini," katanya.

Berkhidmat sebagai pendidik di sekolah itu sejak 30 tahun lalu, Razman berkata, niatnya mencipta lagu solat terbabit hanya bagi tujuan dakwah dan pendidikan namun menyerahkan urusan mengkomerisalkan album lagu solat itu kepada perancangan pihak pentadbiran sekolah atau JAIPk.

Razman berkata, beliau juga merancang memperluaskan ekosistem pendidikan berasaskan lagu menerusi tiga pendekatan baharu iaitu Senam Rabbani Didik Hibur, program pra-tidur untuk kanak-kanak serta konsep 'Pandai Tiru' bagi mencungkil penyertaan murid secara menyeluruh melalui kaedah cabaran dan peniruan.

 

Disiarkan pada: Disember 13, 2025 @ 3:00pm