Sinar Harian ( 24 Oktober 2025 ) - Masjid di Perak adakan solat hajat, kutipan derma bantu mangsa banjir
IPOH – Semua masjid di seluruh Perak melaksanakan Solat Sunat Hajat khas serta kutipan derma bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di beberapa daerah ketika ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, langkah itu dilaksanakan bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam khususnya mangsa banjir serta menggerakkan solidariti bantuan menerusi tabung bencana masjid.
Menurutnya, arahan berkenaan telah dimaklumkan kepada semua masjid di negeri ini dan pelaksanaannya bermula selepas solat Jumaat hari ini.
"Kita mengarahkan semua masjid mengadakan solat hajat bagi kesejahteraan umat Islam khususnya mereka yang terjejas banjir di seluruh Perak.
"Pada masa sama, kita mohon pihak masjid turut melaksanakan kutipan Jumaat untuk dimasukkan ke dalam tabung bencana bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Harith Fadzilah berkata, kutipan derma berkenaan akan dijalankan selama tiga minggu berturut-turut iaitu bermula pada Jumaat hingga 7 November depan.
Sementara itu beliau turut memaklumkan setakat ini, sebanyak tiga buah masjid dilaporkan terjejas teruk akibat banjir.
Katanya, ia melibatkan Masjid Husainiah Batu 9 di Changkat Jering; Masjid Kampung Dew (Bagan Serai) dan Masjid Tengku Menteri (Matang).
"Setakat pagi tadi, hanya tiga masjid yang disahkan terjejas teruk akibat banjir.
“Pihak Bahagian Pengurusan Masjid juga telah memohon setiap pejabat tadbir agama daerah untuk melaporkan sekiranya terdapat kemudahan lain yang turut terkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan beberapa Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di daerah Manjung serta Larut, Matang dan Selama (LMS) turut terjejas.
Antara sekolah terlibat ialah SRAR Ahmadiah Pangkor; SRAR Tadrijiah Pekan Beruas dan SRAR Tebuk Yan 2 di Pantai Remis.
Di daerah LMS pula melibatkan SRAR Nurul Jannah di Changkat Larah; Madrasah Addiniah (Jelutong); Madrasah Al Ibrahimiah (Banggol Nering) dan SRAR Islahiah (Trong).


