Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Harian Metro (28 Disember 2024) - 14 pasangan nikah serentak, pengantin bersyukur kos hanya RM3,000

Harian Metro (28 Disember 2024) - 14 pasangan nikah serentak, pengantin bersyukur kos hanya RM3,000

Ipoh: Seramai 14 pasangan dinikahkan serentak menerusi Majlis Nikah Jamaie Syar'ie Peringkat Negeri Perak 2024 di masjid negeri, Masjid Sultan Idris Shah II, di sini, hari ini.

Pengantin muda, Lokman Nor Hakim Azlina Afandy, 23 dari Taiping dan pasangannya, Azren Razlan, 20 dari Temerloh, Pahang meluahkan rasa syukur kerana dapat mendirikan rumah tangga selepas empat bulan membuat persiapan.

Lokman berkata, hanya berbekalkan kos RM3,000 untuk turut serta dalam majlis itu, beliau dan pasangan berasa amat berbaloi kerana pihak penganjur iaitu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menguruskan pelbagai perkara merangkumi urusan pendaftaran, jamuan, majlis resepsi serta penginapan di hotel.

"Inisiatif ini amat bagus dan membantu pasangan muda seperti kami. Semua sudah disediakan, kami tak perlu pening kepala.

"Kami gembira atas rezeki dan peluang ini. Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan kami," kata peniaga dalam talian itu.

Perasaan syukur turut dikongsi pengantin baru, Mohd Faizul Uzairi, 42 dari Tapah dan isterinya, Noor Farhana Yang Ghazali, 37 dari Bidor.

"Alhamdulillah, kami dapat persetujuan kedua-dua belah keluarga. Penganjuran majlis ini sangat membantu kami menjimatkan kos perkahwinan," kata ejen insuran itu.

Sementara itu, Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, ia program kali keenam anjuran JAIPk dengan kerjasama Masjid Sultan Idris Shah II dan program itu dibuka kepada semua golangan dengan keutamaan bagi pasangan kali pertama berkahwin dan golongan kurang berkemampuan.

"Oleh sebab itu kita ambil dengan kos RM3,000 sahaja yang amat rendah. Dengan kos itu, JAIPk membantu menguruskan perkahwinan dari segi akad nikah, majlis resepsi dan penginapan hotel.

"Selain itu, setiap pasangan dibenarkan membawa 70 tetamu termasuk keluarga masing-masing untuk hadir pada majlis makan beradab," katanya.

  • Laman Utama
  • Berita Terkini
  • Harian Metro (28 Disember 2024) - 14 pasangan nikah serentak, pengantin bersyukur kos hanya RM3,000

Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Agama Islam Perak. Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Selasa 11 Mac 2025. Jumlah Pelawat: 17805522

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH