Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Harian Metro (25 April 2024) - Diisyaratkan secara tidak langsung oleh Rasulullah

Harian Metro (25 April 2024) - Diisyaratkan secara tidak langsung oleh Rasulullah

Setelah enam bulan rakyat di bumi Gaza terus menderita akibat serangan bertali arus oleh tentera rejim Israel yang sehingga kini belum menampakkan penghujungnya apabila rundingan damai masih menemui jalan buntu.

Penyatuan negara Islam pula tidak menunjukkan sebarang perubahan, ada negara yang menentang secara vokal, manakala ada negara Islam yang masih berdiam diri malah ada juga yang seolah-olah langsung tidak mempedulikan nasib saudara Islam di wilayah berkenaan.

Walaupun tidak dinafikan bahawa wujud beberapa siri mesyuarat antara negara Islam sejak Oktober lalu, namun hampir semuanya hanya bernoktah dengan kecaman saja tiada satu ancaman material, fizikal atau ketenteraan yang dilaksanakan.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom, Datuk Dr Afifi Al-Akiti turut berkongsi pandangannya mengenai senario ini. Beliau menyifatkan antara kesilapan negara Islam dalam konflik di Gaza adalah kelemahan daripada segi politik dan tidak bersatu.

Beliau menambah ahli politik negara Islam dilihat perlu untuk bertindak dan melakukan sesuatu demi membela nasib yang menimpa umat Islam serta orang Nasrani di Palestin, khususnya di Gaza.

"Negara Islam perlu belajar untuk berdikari daripada sudut politik, ketenteraan dan ekonomi agar dapat menegakkan kebenaran dan keadilan sekali gus dapat membela nasib saudara Islam yang sedang ditindas oleh tentera rejim Tel Aviv.

Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Barangsiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia cuba mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)

Beliau berkata, negara yang mempunyai kuasa untuk membuat sesuatu tidak boleh berdiam diri dan perlu mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang untuk membebaskan Palestin.

"Negara ini (Malaysia) antara yang lantang menentang kekejaman rejim Tel Aviv dengan langkah terbaharu sudah menghalang kapal Israel berlabuh di negara ini selain tindakan terdahulu iaitu tidak mengiktiraf penggunaan pasport Malaysia di Israel serta tidak menerima kemasukan pemegang pasport negara haram itu ke sini.

"Saya juga berharap Malaysia akan melaksanakan lagi dasar tambahan yang menunjukkan penentangan terhadap Israel seperti apa yang dilakukan oleh negara Eropah, Republik Ireland.

"Dasar kerajaan Ireland antara contoh baik usaha mengubah kemungkaran menggunakan tangan yang tidak hanya melibatkan jalan ketenteraan. Tekanan boleh diberikan daripada pelbagai cara termasuk Boycott, Divestment and Sanctions' (BDS) dan jika negara Islam boleh bersatu dalam hal ini akan lebih mudah untuk menentang Israel serta sekutunya," katanya.

Ironinya, penubuhan negara Israel dan kedatangan orang Yahudi dari serata pelosok dunia untuk tinggal di negara itu telah pun diisyaratkan secara tidak langsung oleh Nabi Muhammad SAW. Walaupun Rasulullah tidak menyatakannya dengan ungkapan yang jelas, namun baginda mengisyaratkan melalui hadisnya bahawa pada akhir zaman nanti akan berlaku peperangan antara umat Islam dengan orang Yahudi seperti apa yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Orang Yahudi akan memerangi kamu sekalian, namun kalian akan dapat menguasai mereka hinggakan batu pun akan berkata, 'Hai Muslim, ini ada orang Yahudi sembunyi di belakangku, lawanlah dia.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Umat Islam sebelum 1948, ketika membaca hadis tersebut mungkin tidak dapat mengetahui dengan jelas apakah faktor utama yang boleh membawa kepada tercetusnya peperangan yang diramalkan oleh Rasulullah itu. Malah, mereka juga mungkin tidak nampak bagaimana perang dengan orang Yahudi itu boleh berlaku disebabkan orang Yahudi memang tiada sebuah negara sebelum 1948 dan mereka hanya tinggal berpecah-pecah sebagai minoriti di serata dunia sebelum tahun itu.

Sesungguhnya sejarah merekodkan orang Yahudi adalah bangsa yang tidak mempunyai sebuah negara selama lebih 1,800 tahun. Dalam tempoh itu, mereka hanya tinggal secara berpecah-pecah dan berselerakan sebagai minoriti di pelbagai negara antaranya sekian lama di Eropah seperti Rusia, Afrika, Turki dan Timur Tengah manakala yang terbaharu ialah di Amerika Syarikat.

Justeru, perang yang bakal terjadi itu membuktikan bahawa bangsa Yahudi akan duduk berkumpul dan bersatu di bawah sebuah negara yang mempunyai kedaulatannya yang tersendiri serta kekuatan senjata ampuh. Dengan kuasa yang ada itu, logiklah jika mereka berani seperti apa yang berlaku pada hari ini untuk 'menunjuk muka' dan menindas pihak lain, khususnya umat Islam dan orang Nasrani di Palestin.

Jelasnya, kezaliman dan keganasan berterusan yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv terhadap rakyat Palestin hakikatnya ibarat 'bom jangka' dan sudah memadai untuk menjadi faktor kukuh tercetusnya peperangan antara umat Islam dengan kerajaan pelampau Yahudi itu.

Maka, dengan terdirinya negara Israel pada 1948 hakikatnya ia membuktikan kebenaran sabda Nabi Muhammad SAW di atas. Malah hadis itu turut sekali gus memberikan khabar gembira atas kemenangan yang akan dicapai umat Islam dan penghujung kekejaman kerajaan Yahudi yang zalim.

Malah, bantuan kepada orang Islam turut akan diberikan oleh makhluk alami sejagat.

Bukan sahaja batu-batuan, bahkan dalam riwayat lain turut disebut pepohonan juga bakal memberikan pertolongan kepada umat Islam.


Hakcipta Terpelihara © 2024 Jabatan Agama Islam Perak. Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Khamis 19 Disember 2024. Jumlah Pelawat: 17755091

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH