Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Utusan Malaysia (25 November 2022) - Pemimpin perlu kota janji pilihan raya


Oleh SAYED HESHAM IDRIS
25 November 2022, 3:06 pm

IPOH: Pemimpin yang diangkat melalui kuasa mandat rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diingatkan supaya berusaha mengotakan janji serta tawaran-tawaran yang pernah dihidangkan semasa proses berkempen meraih undi.

Peringatan itu terkandung dalam khutbah Jumaat yang dibacakan di masjid-masjid di negeri ini ketika solat Jumaat dalam khutbah yang bertajuk ‘Amanah Rakyat: Kewajipan Melaksanakannya’.

Teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu mengingatkan ketika diamanahkan tanggungjawab kepemimpinan, sekurang-kurangnya ada dua perkara yang perlu diberikan perhatian.

Pertama, soal kewajipan memenuhinya dengan penuh kesungguhan, jujur dan saksama kepada semua pihak serta disulami kesedaran bahawa ia disoal oleh Allah SWT di hari pembalasan.

Kedua, menerapkan budaya intelektual dan kepemimpinan yang tinggi sahsiah serta bermoral tinggi seperti tidak melakukan pecah amanah, budaya rasuah, meningkatkan daya pengetahuan, berkemampuan berbahas secara berhemah sama ada dalam Dewan Rakyat, Dewan Negeri mahu pun bicara sesama pihak luar, apatah lagi di peringkat antarabangsa.

“Ketiga, memberi fokus pada keutamaan dan keperluan rakyat. Tidak kurang juga isu global yang memperlihat dunia mengalami perubahan, malapetaka dan bencana yang amat perlu difikirkan secara strategik dan kerahan idea bersama kalangan pemimpin dalam menangani krisis yang sedikit sebanyak memberi ancaman kepada kehidupan manusia seperti krisis kekurangan bekalan makanan, bencana banjir, jerebu, kemungkinan munculnya virus lain yang membahayakan dan sebagainya.

“Keempat menggembleng tenaga memacu negara ke arah anjakan paradigma kemajuan sosial, teknologi, ekonomi dan sebagainya. Memikirkan plan strategik yang dapat mengembalikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan ekonomi negara. Menyediakan perkhidmatan dan keperluan masyarakat seperti meningkatkan peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang ditambah baik, mengurangkan inflasi yang membebankan kos sara hidup dan sebagainya,” kata teks khutbah tersebut.

Pemimpin juga diingat mengamalkan budaya kepemimpinan yang matang, demokrasi yang sihat dan menyemai budaya etika dan nilai moral dalam urusan pentadbiran dan membentuk negara yang maju dan kehadapan; ketepikan perbalahan yang merugikan kepentingan awam dan sentiasa bersikap pro aktif dalam mengemudi pentadbiran.

Rakyat juga mahukan kepimpinan yang berjiwa besar bukan berjiwa sempit, berwawasan tinggi bukan semata mendamba jawatan.

“Biduk lalu kiambang bertaut, keputusan Pilihan Raya Umum kali ini, ummah seharusnya kembali tautkan ukhuwah, kukuhkan persaudaraan dan bina persefahaman bersama ke arah Malaysia yang harmoni dan maju,” kata teks tersebut. – UTUSAN

Artikel Penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2022/11/pemimpin-perlu-kota-janji-pilihan-raya/



Copyright © 2023 Perak Department of Islamic Religion. Best viewed via Mozilla Firefox and Google Chrome with a resolution of 1024 x 768 and above. This website uses a RESPONSIVE LAYOUT.

Lasted Update :Thursday 19 December 2024. Total Visitors 17755308

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH