Sinar Harian (06 Julai 2022 ) - [VIDEO] Sindiket nikah 'Ustaz Zul' tumpas
IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menumpaskan sindiket nikah tanpa tauliah dengan menggunakan surat nikah Thailand disyaki palsu di kawasan Chepor di sini, baru-baru ini.
Serbuan kira-kira jam 9.30 malam yang dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah itu membawa kepada penahanan lelaki dikenali 'Ustaz Zul' berusia 50 tahun.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, hasil serbuan pihaknya telah menahan 16 individu termasuk isteri dan anak kepada lelaki terbabit yang mendakwa dirinya sebagai jurunikah bertauliah.
"'Ustaz Zul' ditahan ketika sedang menikahkan sepasang pengantin yang berasal dari Klebang di sini.
"Pernikahan tersebut yang dibuat tanpa melalui prosedur yang betul kerana ingin mengelak daripada pengetahuan isteri pertama," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, sebanyak 15 keping surat nikah Thailand atas nama pelbagai pasangan telah dirampas dalam serbuan tersebut.
"Siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM4,500 hingga RM6,000 untuk menguruskan pernikahan secara rahsia dan menggunakan surat nikah Thailand untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 40 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 kerana kesalahan akad nikah tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara," katanya.
Mohd Yusop berkata, JAIPk memandang serius aktiviti pernikahan oleh sindiket ini dan beberapa lokasi serta individu terlibat dikenal pasti telah menjalankan perbuatan sama.
"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dan akan dibawa ke muka pengadilan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan pernikahan sindiket yang kononnya sebagai jalan mudah untuk mendapatkan pernikahan terutamanya secara poligami.
"Kesannya bukan sahaja kerugian wang malah pernikahan tersebut berdepan dengan status tidak sah yang kemudiannya boleh merosakkan nasab keturunan," katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/210173/BERITA/Semasa/[VIDEO]-Sindiket-nikah-Ustaz-Zul-tumpas