Harian Metro (09 Februari 2025) - Tidak baca khutbah Jumaat JAIPk, 4 khatib digantung tugas
Harian Metro (09 Februari 2025) - Tidak baca khutbah Jumaat JAIPk, 4 khatib digantung tugas
Ipoh: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menggantung sementara tugas empat khatib yang juga imam masjid di negeri ini kerana disyaki menyampaikan khutbah Jumaat yang bukan dikeluarkan oleh jabatan itu pada 31 Januari lalu.Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd Razak berkata empat imam terbabit bertugas di daerah Kerian, Hilir Perak, serta Kuala Kangsar itu turut digantung imbuhan bagi jawatan itu kerana membaca khutbah dari negeri lain serta satu daripadanya membaca khutbah keluaran tahun 2023.
Menurutnya, surat tahan tugas serta imbuhan itu dikeluarkan JAIPk pada 6 Februari lalu iaitu seminggu selepas kesalahan itu dikesan, dengan arahan penggantungan itu dijangka berkuatkuasa hingga awal bulan Ramadan ini sementara menunggu Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib JAIPk bersidang.
"Setakat ini hanya empat imam dan jika ada lagi maka kita akan buat susulan (tindakan) yang sama juga, dengan tempohnya (penggantungan) bergantung pada tarikh Jawatankuasa Tatatertib bersidang yang dijangkakan sekitar dua minggu dari sekarang," katanya.
Zakaria berkata demikian sewaktu ditemui pemberita selepas program Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 1446H/2025M di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) dekat Tasek, di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Masjid berkenaan, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah. Kata Zakaria lagi, tindakan tegas penggantungan empat khatib itu dibuat susulan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap perbuatan itu yang dianggap melanggar amanah yang digalas menerusi watikah yang disampaikan oleh baginda.
Menurutnya lagi, Jawatankuasa Tatatertib akan mempertimbangkan alasan yang diberikan imam terbabit sehingga tidak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan, sama ada alasan itu munasabah atau sebaliknya.
"Rata-rata mereka memberi alasan tidak boleh buka komputer untuk dapatkan khutbah yang masuk menerusi emel masjid bagi minggu itu. Kemungkinan sebelum ini pun mungkin ada khatib yang tidak baca khutbah disediakan cuma mungkin tidak diadukan yang lalu menjadikan kita tiada maklumat dan akhirnya senyap begitu sahaja," katanya.
Terdahulu, akhbar melaporkan JAIPk l diarahkan menyiasat dakwaan mengenai seorang khatib di Parit Buntar yang tidak membaca teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh jabatan itu sewaktu sesi solat Jumaat 31 Januari lalu.