Koleksi Artikel

Nikah Jama'ie Syar'ie

16 September 2018, Ipoh : SERAMAI 30 pasangan dinikahkan serentak menerusi program Majlis Nikah Jama’ie Syarie Peringkat Negeri Perak Tahun 2018 di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu bermula pada 8 pagi dengan khutbah nikah disampaikan Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Rujuk Orang Islam Negeri Perak, Zakaria Abd Razak disusuli dengan majlis ijab dan kabul.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu hadir bagi meraikan pasangan pengantin, sekali gus merasmikan majlis yang diadakan sempena Hari Malaysia itu. Hadir sama, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Sebaik selesai majlis pernikahan, pasangan pengantin diarak ke dewan jamuan makan di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) untuk majlis resepsi dan makan beradab.

Sementara itu, Yusop berkata, program itu sudah memasuki tahun keenam dan sepanjang tempoh berkenaan ramai pengantin diraikan dengan penuh meriah mengikut panduan hukum syarak.

“Majlis seperti ini sekurang-kurangnya dapat menjimatkan masa, tenaga serta wang bagi pasangan pengantin yang baru mendirikan mahligai kehidupan.

“Begitupun, JAIPk tidaklah menyetujui sifat malas berusaha dan malas menyimpan wang dengan hanya menunggu tarikh penganjuran program seperti ini apabila kira-kira 80 peratus perbelanjaannya ditaja.

“Pasangan dinasihatkan untuk menyimpan wang bagi digunakan di awal kehidupan berumah tangga tanpa dibebani hutang,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.





Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.