Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Harian Metro (09 Okt 2022) - Ustazah Rokiah pernah kena badi mayat [METROTV]


Ipoh: Terkena badi mayat tidak sedikit pun melunturkan semangat bekas pembantu guru agama dakwah daripada menguruskan jenazah wanita masyarakat Orang Asli yang beragama Islam.

Peristiwa itu dilalui Rokiah Man, 61, kira-kira 20 tahun lalu apabila terkena badi mayat selama empat bulan sejurus menguruskan jenazah wanita Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, Gerik dekat sini.

Bagi nenek kepada 17 cucu yang mesra disapa Ustazah Rokiah itu, pengalaman itu tetap segar dalam ingatannya sekali gus menjadi pendorong untuk terus mendekatkan hubungannya dengan masyarakat Orang Asli dalam memberikan dakwah berkaitan agama Islam.

Katanya, beliau menguruskan jenazah seorang wanita Orang Asli dua hari selepas pertama kali menghadiri kursus pengurusan jenazah pada tahun 2000.

"Ketika itu jawatan saya adalah Guru Fardhu Ain Orang Asli di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan pada waktu itu pembabitan kaum wanita sebagai mubaligh Orang Asli tersangat kurang hinggakan saya sering diminta menguruskan jenazah wanita Islam Orang Asli.

"Hari Sabtu pergi kursus pengurusan jenazah, dua hari selepasnya iaitu Isnin saya sudah dipertanggungjawab menguruskan jenazah. Sejurus selepas itu saya demam berpanjangan dan sering rasa seperti kepanasan walaupun doktor gagal mengenal pasti jenis penyakit itu.

"Hinggalah kira-kira empat bulan kemudian ketika dibawa berubat secara Islam oleh bapa saudara dan sembuh," katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Pendakwah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah peringkat negeri Perak di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Rokiah berkata, beliau bagaimanapun bernasib baik kerana ketika mula menggalas tugas dengan JAIPk, beliau bergerak menyantuni masyarakat Orang Asli di Gerik dengan ditemani suami, Osman Mat Ludin, 82, yang ketika itu berkhidmat sebagai Mubaligh Orang Asli.

Menurutnya lagi, beliau sudah menguruskan lebih 50 jenazah wanita Orang Asli sepanjang mula berkhidmat pada 2000 sehingga sekarang.

"Pada saya sudah ramai pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) kelihatan berlumba bagi menguruskan jenazah masyarakat Islam kita di Malaysia secara amnya termasuk yang berorientasikan keuntungan namun keadaan berbeza jika jenazah itu adalah kaum Orang Asli.

"Walaupun sekarang saya hanya suri rumah kerana kontrak sebagai pembantu mubaligh sudah tamat tahun lalu, hubungan saya dengan Orang Asli beragama Islam terutama sekitar kawasan Kampung Ulu Gerik masih terjalin erat sehingga kini," katanya yang menetap di Kampung Sira Kulim, Air Panas, Gerik.

Selain Anugerah Pendakwah, Sultan Nazrin turut menyampaikan Anugerah Pegawai Masjid terdiri dari kategori imam, bilal, dan siak; Anugerah Tokoh NGO dan Anugerah Pengamal Media.


Artikel Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/10/890554/ustazah-rokiah-pernah-kena-badi-mayat-metrotv



Copyright © 2023 Perak Department of Islamic Religion. Best viewed via Mozilla Firefox and Google Chrome with a resolution of 1024 x 768 and above. This website uses a RESPONSIVE LAYOUT.

Lasted Update :Wednesday 24 April 2024. Total Visitors 17561181

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH