Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri - Mac 24, 2022 - 9:15am

IPOH: Tiga beradik dari Kampung Banggol Batu, Lenggong, melakar kenangan manis bersama apabila merangkul johan untuk tiga kategori berbeza Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri 2022M/1443H, di sini, malam tadi. Adibah Husni Ahmad Rozaini, 25, merangkul johan bagi kategori hafazan 1-30 juzuk wanita manakala dua adiknya, Aqilah Sulhi Ahmad Rozaini, 24, dan Muhammad Adib Ahmad Rozaini, 22, masing-masing johan bagi kategori hafazan 1-20 juzuk wanita dan hafazan1-20 juzuk lelaki.

Adibah Husni berkata, ia kali kedua beliau bersama dua adiknya itu menyertai pertandingan hafazan peringkat negeri selepas tahun lalu, namun ketika itu hanya dia dan Aqilah Sulhi yang merangkul johan bagi kategori sama manakala Muhammad Adib sekadar menduduki naib johan bagi kategori sama seperti tahun ini.

"Sebelum ini juga, saya pernah dinobatkan johan kebangsaan bagi kategori hafazan 1-30 juzuk wanita pada 2019 manakala Aqilah Sulhi pernah merangkul naib johan kebangsaan bagi kategori hafazan 1-20 juzuk pada 2020.

"Tahun ini Muhammad Adib layak mewakili Perak ke peringkat kebangsaan memandangkan ia kali pertama merangkul johan bagi kategori yang disertainya iaitu hafazan 1-20 juzuk lelaki," katanya ketika ditemui sempena majlis penutupan dan penyampaian hadiah acara itu yang diadakan di Hotel Casuarina @ Meru, di sini, malam tadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan berangkat ke majlis itu selain Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; EXCO kerajaan negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini; serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah kepada Aiman Ridhwan Mohammad Ramlan dan Nurul Syafiqah Nardi yang merangkul gelaran sebagai johan qari dan qariah tilawah al-Quran.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, berserta pakej menunaikan haji bernilai RM10,000, selain hadiah iringan plak dan sijil.

Tempat kedua qari disandang oleh Muhammad Sahran Termizi dan qariah pula oleh Munirah Razali, manakala tempat ketiga qari dimenangi Muhammad Kamaruzaman Daud dan qariah Norhazira Nabila Mohammad Kamel.

Pemenang naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000, berserta hadiah iringan plak dan sijil.

Semua pemenang qari dan qariah hafazan bagi kategori 1-10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000 hingga RM10,000, berserta hadiah iringan plak, dan sijil.

Johan bagi qari dan qariah hafazan bagi kategori 1-30 juzuk, iaitu Amirul Shariff Ahmad dan Adibah Husni Ahmad Rozaini turut menerima pakej menunaikan haji bernilai RM10,000.

Johan qari dan qariah tilawah serta hafazan akan mewakili Perak ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijangka berlangsung di Johor, antara Jun hingga Julai ini.


Artikel Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/03/937916/tiga-beradik-juara-hafazan-al-quran


Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.
Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Rabu 03 Ogos 2022.

Harini 93

Semalam 446

Minggu Ini 1758

Bulan Ini 6611

Jumlah Pelawat 16981055

Test

sasasasasasasasa